• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

4,560 Ketua Isi Rumah Di Terengganu Terima RM1,000

KUALA TERENGGANU, 15 Mac- Seramai 4,560 ketua isi rumah (KIR) yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) ketika banjir gelombang kelima melanda Terengganu telah menerima bayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) berjumlah RM1,000, setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, ianya melibatkan peruntukan sebanyak RM4.56 juta.

Katanya, BWI yang disalurkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) itu telah selesai diagihkan kepada KIR yang berpindah ke 147 PPS melibatkan daerah Kuala Terengganu, Besut, Dungun, Marang , Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.

“Di Kuala Terengganu seramai 246 KIR menerima bayaran masing-masing, Besut (534), Dungun (1,094), Marang (1), Hulu Terengganu (2,478), dan Kuala Nerus (207) ,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Buku Sejarah Dan Perkembangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Primula Beach Hotel, semalam.

Hanafiah berkata, hanya Kemaman dan Setiu daerah yang belum selesai dibuat pembayaran BWI.

“Setakat ini, berdasarkan rekod yang kita ada seramai 2,881 KIR berdaftar dengan 39 PPS di Kemaman manakala 643 pula berpindah di 35 PPS di Setiu ketika banjir baru-baru ini.

“Bagaimanapun, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing sedang dalam proses mengemaskini lagi jumlah mangsa-mangsa banjir sehingga 20 Mac ini untuk diangkat kepada pusat bagi bayaran RM1,000.

“Selepas selesai, kami akan membuat permohonan untuk bantuan kerosakan perabot pula,” ujarnya.