• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

47,000 Pelajar Mula Sekolah Bersemuka Hari ini

DUNGUN, 3 Oktober - Seramai 47,000 pelajar membabitkan di Terengganu, Kelantan dan Pulau Langkawi memulakan sesi persekolahan secara bersemuka bermula hari ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, secara keseluruhan proses persekolahan bagi kumpulan A itu terutama melibatkan prosedur operasi standard (SOP) di kebanyakan sekolah dipatuhi dan berjalan dengan baik.

"Hasil pemantauan sekolah-sekolah di Terengganu mendapati kebanyakannya beroperasi dengan baik mengikut tatacara dan garis panduan ditetapkan.

"Murid-murid juga dilihat mematuhi setiap SOP ditetapkan dan dilihat cukup bersemangat kembali semula ke sekolah untuk bertemu dengan rakan-rakan dan guru," katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Terengganu, di sini, hari ini.

Menurut Radzi, tinjauan yang dilakukan di lebih 10 buah sekolah di Terengganu sejak Sabtu mendapati sistem pengudaraan di dalam kelas dan bilik guru dalam keadaan baik.

Katanya, tinjauan pada hari ini pula mendapati sistem penggiliran melibatkan  separuh pelajar mengikuti sesi pembelajaran di dalam kelas pada satu-satu masa turut berjalan lancar.

"Insya-Allah dengan kerjasama semua pihak, kita doakan sesi sesi persekolahan bersemuka ini dapat terus berjalan dengan lancar dan teratur,”katanya.

Radzi turut memberitahu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kekal dengan ketetapan bahawa sesi persekolahan 2021 dilanjutkan sehingga Januari dan Februari tahun depan meskipun wujud desakan supaya ia dikaji semula

"Keputusan melanjutkan sesi persekolahan 2021 sehingga Februari tahun depan dibuat berdasarkan penelitian yang mendalam.

"Perkara ini juga dibincangkan dengan pelbagai pihak termasuklah pengetua guru-guru, wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di beberapa buah negeri serta pakar dan persatuan untuk mengambilkira pandangan semua pihak," jelasnya.
 

 


Tag: