• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

49 Penduduk Terima Geran Tanah Felcra

Dr Mamad menyampaikan geran hak milik tanah kepada pemohon.

Oleh: Shahril Aswad

HULU TERENGGANU, 13 Februari - Hajat memiliki tanah sendiri selepas sekian lama memohon akhirnya menjadi kenyataan apabila seramai 49 pemohon berjaya mendapat geran hak milik tanah di Tanah Rancangan Felcra Banggol Gajah Mati Fasa 2,3,4 dan Felcra Kampung Tapah, Mukim Jenagor, di sini, semalam.

Semua pemohon berkenaan menerima geran hak milik tanah yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam,Utiliti dan Teknologi Hijau, Dr Mamad Puteh, di Dewan Sivik Kampung Kuala Pueh, di sini, semalam.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, Mohd Safari Abu berkata, kegembiraan dan kelegaan jelas terpancar pada wajah penerima geran tersebut dan berharap mereka mampu menguruskan tanah itu dengan baik demi generasi akan datang.

Katanya, penyerahan geran hak milik tanah berkenaan membuktikan kerajaan negeri berjaya menyelesaikan satu lagi masalah rakyat.

"Ia adalah hadiah kepada penerima setelah hampir 20 tahun menunggu saat ini. Mereka berhak memohon dan baru sekarang ia dapat direalisasikan dengan penyerahan rasmi geran hak milik ini.

"Kerajaan negeri terus komited penyelesaikan isu tanah rakyat seperti yang dijanjikan dalam Manifesto PAS," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Hak Milik Tanah Felcra Banggol Gajah Mati fasa 2,3,4 dan Felcra Kampung Tapah, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Ustaz Kamaruzaman Abdullah, Pengurus Besar Wilayah Timur Felcra Berhad, Haji Zulkifli Sidek dan Ketua Penolong Pegawai Tadbir Tanah Hulu Terengganu, Mohd Rasydan Muda.

Sementara itu, seorang penerima, Rafiah Musa 65, dari Kampung Tanjung Baru berkata, dia sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memudahkan urusan pembahagian tanah ini.







"Syukur Alhamdulillah. Setelah sekian lama makcik memohon geran hak milik tanah akhirnya jadi kenyataan. Mungkin sudah rezeki kami, akhirnya hasrat itu tercapai tahun ini dan ia saat yang amat menggembirakan.

"Terima kasih kepada kerajaan negeri yang baru kerana memudahkan urusan pembahagian tanah ini," ujarnya

Tag: