• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

500 Orang Sepetang Kunjungi Syukor Kampung Boy

Syukor menerima tajaan gunting rambut percuma selama setahun.
KUALA TERENGGANU, 22 Januari - Nama Syukor Khamis, anak kelahiran Terengganu terus meniti di bibir masyarakat.

Kisahnya bermula dengan sekeping gambar yang bukan sahaja mendapat pengiktirafan di peringkat negara bahkan juga di peringkat antarabangsa.

Bapa Syukor, Khamis Jusoh berkata, kehidupan mereka sekeluarga berubah mendadak selepas gambar ‘Kampung Boy’ Terengganu menjadi tular, hampir setiap petang mereka dikunjungi oleh masyarakat dan dikatakan boleh mencecah 500 pengunjung pada satu-satu masa.

"Orang yang datang ni, datang tengok sekejap kemudian balik, anggaran dalam 500 hingga 600 orang juga sepetang.

"Kalau hari Jumaat pagi ramai sikitlah (dan hujung minggu), kalau waktu TV3 buat penggambaran tu memang ramai la, jalan pun sesak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Syukor Khamis kelmarin.

Turut diraikan dalam majlis ini ialah anak-anak dari Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (PERKAYA).

Majlis tersebut dianjurkan bersama oleh MSR Event Management, Duta Ayam, Kambing Guongzhou (KBGZ), TY Hotel, CONTIXPERT, CUCKOO, RIZQ ARGO FARM, FAFA Sweet House dan The Groomerz Barbershop.

Syukor dan keluarganya mula menjadi tumpuan orang ramai selepas tular kemenangan jurugambar, Nazri Sulaiman.

Salah satu daripada gambar tersebut, yang ditangkap oleh Nazri Sulaiman telah dinobatkan antara pemenang bagi Anugerah Istimewa dari Siena International Photo Awards bagi kategori Wajah dan Karektor Menarik. 
Foto Nazri Sulaiman yang dinobatkan antara pemenang.
Bahkan gambar itu juga dinobatkan antara pemenang bagi Asian Geographic: Imej Asia 2018 bagi kategori manusia atau jalanan (street/people).


 





Tag: