• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

5,000 Anak Pokok Ditanam Di Taman Rimba Ilmu Tanah Bris

BESUT, 31 Mac - Sebanyak 5,000 pokok hutan berjaya  ditanam di Taman Rimba Ilmu Tanah Bris (TRIBe), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melibatkan keluasan 4.5 hektar bermula 27 hingga 30 Mac 2022. 

Pengarah Perhutanan Negeri Terengganu, Roslan  Rani berkata pihaknya telah  berganding bahu bersama-sama staf dan pelajar-pelajar yang telah empat hari berkampung di TRIBe, menanam pelbagai spesies pokok hutan.

“Antara spesies pokok hutan yang ditanam adalah Merawan Siput Jantan, Merawan Bunga, Balau Pasir, Gelam, Penaga Lilin, Meranti Sarang Punai, Meranti Rambai Daun, Meranti Tembaga, Karas, Kembang Semangkuk, Mata Ayam, Jambu Golok dan Tekoma. 

“Terdapat juga pokok buah-buahan seperti Mempelam, Mata Kucing dan Jambu Keling yang ditanam,” ujarnya. 

Majlis perasmian hari Sambutan Hari Hutan Antarabangsa 2022 Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman di UniSZA, Kampus Besut telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UniSZA,  Profesor Dr. Fadzli  Adam  berkata TRIBe menjadi mercu tanda UniSZA Kampus Besut kerana menjadi hutan simpan tanah BRIS yang pertama di Malaysia dan juga dalam Universiti Awam yang kaya dengan kepelbagaian biodiversiti flora dan fauna serta persekitaran semulajadi.

“Model pengurusan TRIBe turut akan dihasilkan sebagai panduan pengurusan yang lebih komprehensif bagi membantu dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan juga warisan untuk generasi akan datang,” katanya lagi.

Tambah beliau,  TRIBe juga dilihat dapat menyumbang kepada aktiviti rekreasi bukan sahaja kepada warga UniSZA malah kepada komuniti luar sebagai produk eko-pelancongan.