• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

530 Murid Dapat Manfaat Menerusi 'Adopt A School Programme'

KUALA TERENGGANU, 4 Ogos - Seramai 530 murid Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam (SKTAM) di sini, mendapat manfaat sebagai sekolah angkat Terengganu Inc menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) 'Adopt A School Programme' bagi merealisasikan hasrat pembelajaran secara menyeluruh.

Menerusi CSR tersebut, tiga projek iaitu Rapid English Programme, 'Karate Do Training 'dan 'Go Green Activity' disediakan khas buat murid darjah satu sehingga enam sekolah itu.

Presiden dan Pengarah Eksekutifnya, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, salah satu inisiatif di bawah 'Adopt A School Programme' adalah 'Go Green Activity' iaitu pembangunan dan penceriaan semula taman botani sedia ada di SKTAM dengan kerjasama penanaman dan sumbangan pokok oleh lebih 50 kakitangan Terengganu Inc.

"Kami berharap dengan berlangsungnya 'Go Green Activity' di SKTAM, kami dapat memupuk kesedaran cinta akan alam sekitar dalam kalangan anak murid dan menggalakkan persekitaran yang kondusif buat keseluruhan warga sekolah," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran 'Adopt A School Programme' di sekolah tersebut, hari ini. 

Turut hadir, Guru Besar SKTAM, Jalani Mat Desa.

Dalam masa yang sama katanya, kakitangan Terengganu Inc turut mengambil bahagian dalam menderma dan membaca buku Bahasa Inggeris kepada para pelajar SKTAM bagi mengalakkan penguasaan bahasa tersebut, selaras dengan matlamat 'Rapid English Programme'.

"Program pertama di bawah 'Adopt A School Programme' di sekolah ini iaitu 'Rapid English Programme' telah dilancarkan pada 20 Jun lalu oleh Pesuruhjaya Tinggi British Ke Malaysia, TYT Charles Hay yang bertujuan untuk pemerkasaan Bahasa Inggeris," ujarnya.

Selain itu, menurut Burhanuddin kelas mingguan 'Karate Do Training' pula, hasil kerjasama bersama Persekutuan Karate Terengganu ditaja oleh Terengganu Inc bagi memupuk seni pertahankan diri di kalangan pelajar.

"Menerusi tiga projek ini, kami berharap 'Adopt A School Programme' akan terus berkembang untuk memperkasakan anak-anak kita bukan sahaja dalam tema tertentu, tetapi merangkumi pembelajaran yang lebih holistik melalui ilmu pengetahuan yang relevan," katanya.