• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

54 Kes Varian Delta Dikesan Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 2 November - Sehingga hari ini, Terengganu telah mencatatkan 54 kes varian membimbangkan (VOC) melibatkan varian Delta (B.1.617.2) sejak pertama kali dikesan pada akhir Julai lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dato Dr Kasemani Embong berkata sembilan lagi VOC adalah varian Beta (B.1.351), menjadikan keseluruhan kes COVID-19 kategori tersebut sebanyak 63 kes.

“Jika diteliti pecahan mengikut daerah, Kemaman mencatatkan kes VOC tertinggi dengan 14 kes, diikuti Kuala Terengganu (12 kes), Dungun (10 kes), Hulu Terengganu dan Besut (tujuh kes), Marang dan Kuala Nerus (lima kes) serta Setiu (tiga kes).

“Sampel yang diambil adalah semasa kita mengalami peningkatan kes baru-baru ini, dalam mendapat keputusan ia mengambil masa bagi mengesan varian tersebut,” katanya ketika ditemubual di Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, pagi tadi.

Mengulas tentang peningkatan kes virus disebabkan kelonggaran rentas negeri, Dr Kasemani menjelaskan berlaku sedikit peningkatan disebabkan kemasukan luar namun jumlahnya tidak ketara.

“Oleh itu, kita mengalakkan mereka yang pulang ke Terengganu atau ingin datang melancong agar menjalankan ujian saringan kendiri bagi mengelak penularan COVID-19.

“Mereka yang ingin datang perlu bebas daripada virus ini terlebih dahulu supaya ia tidak merebak kembali terutamanya terhadap ahli keluarga tersayang.

“Walaupun telah beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), namun Prosedur Operasi Standard (SOP) adalah mesti, sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam serta amalkan penjarakan sosial sepanjang masa,” katanya lagi.