• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

540 Masjid Sertai Kursus Pengurusan Kewangan

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Sebanyak 540 buah masjid seluruh negeri menghantar wakil bagi menyertai kursus pengurusan kewangan anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bersama Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS).

Pesuruhjaya JHEAT, M Rozi Bidin berkata, kursus tersebut turut melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada bagi memastikan kesemua peraturan dalam pengurusan kewangan dipatuhi.

“Kita (JHEAT) mengambil inisiatif memberikan kursus seumpama ini bagi menerapkan kefahaman mengenai kepentingan pengurusan kewangan secara betul termasuk yang didermakan orang awam.

"Ia diadakan bagi memastikan perjalanan pengurusan terutamanya dari sudut kewangan masjid berjalan mengikut peraturan dan kaedah-kaedah kewangan yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan hormat skuad #RasuahBusters di pejabat JHEAT, di sini semalam.

Menurut M Rozi, berdasarkan peraturan, sebarang perbelanjaan wang masjid melebihi RM10,000 perlu mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya JHEAT.

"Setiap perbelanjaan melebihi RM10,000 perlu mendapat kelulusan, namun sekiranya jumlah RM1,000 ke bawah ia tidak perlu, tetapi maklumat berkaitan perbelanjaan masih perlu dikemukakan supaya setiap sen yang dikeluarkan direkodkan," ujarnya.

Dalam pada itu, M Rozi berkata, JHEAT menyokong penuh usaha #RasuahBusters dan sedia untuk bekerjasama bagi melaksanakan aktiviti melibatkan pihak jabatan atau sekolah-sekolah di bawah jabatan itu.

"Kita amat-amat mengalu-alukan sebarang pandangan dan cadangan daripada pihak #RasuahBusters untuk menambah baik lagi perkhidmatan sekaligus mengekang kegiatan jenayah rasuah," katanya.

Skuad #RasuahBusters memulakan siri konvoi di Terengganu sejak 6 Ogos lalu bagi melengkapkan jelajah Pantai Timur bersama golongan pemimpin, pihak berkuasa, pelajar dan pemegang taruh terlibat.


Tag: