Jalur Gemilang
Berita :
5,469 Pelajar Ikuti Pengajian POLYCC di Terengganu
5,469 Pelajar Ikuti Pengajian POLYCC di Terengganu
Rohayati Ripin
1 hari yang lepas
114

KUALA TERENGGANU, 26 September — Seramai 5,469 pelajar kini mengikuti pengajian di institusi Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) di Terengganu, membabitkan 4,659 pelajar politeknik dan 810 pelajar kolej komuniti.

Pengarah Bahagian Koordinasi TVET, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr. Shahiza Ahmad Zainuddin berkata jumlah berkenaan mencerminkan peranan institusi TVET dalam menyediakan tenaga berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri semasa.

Menurutnya, usaha memperkukuh keupayaan pelajar turut dilaksanakan menerusi program berasaskan teknologi dan data, termasuk Program Data Hackathon POLYCC V3.0 Tahun 2026: Data to Impact.

Beliau berkata program berkenaan penting dalam membina keupayaan peserta untuk menggunakan data dan teknologi bagi memahami sesuatu permasalahan serta menghasilkan penyelesaian yang lebih bermakna.

“Dalam konteks pendidikan dan TVET, kita perlu melahirkan graduan yang bukan sahaja menguasai kemahiran teknikal, tetapi turut mampu membaca data, mentafsir maklumat, membuat pertimbangan dan menggunakan teknologi bagi menghasilkan penyelesaian yang bernilai,” jelasnya ketika merasmikan Program Data Hackathon POLYCC V3.0 Tahun 2026: Data to Impact di Permai Hotel Kuala Terengganu.

Katanya, kemahiran dalam bidang Sains Data, Analitik Data Raya, Kecerdasan Buatan (AI), Pembelajaran Mesin, Internet of Things (IoT) dan teknologi digital semakin menjadi nilai tambah kepada tenaga kerja masa kini.

Dalam pada itu, kadar kebolehpasaran graduan POLYCC pada 2025 mencapai 98.10 peratus, melepasi sasaran 95 peratus dengan pencapaian sebanyak 103.26 peratus.

Dr. Shahiza berkata pencapaian itu menunjukkan keberkesanan program akademik dan inisiatif kebolehpasaran graduan POLYCC yang dilaksanakan selaras dengan keperluan industri semasa.

"Data Hackathon turut memberi peluang kepada peserta melalui proses pembelajaran bermula daripada mengenal pasti masalah, memahami set data, meneroka dan menganalisis data, mentafsir dapatan serta membangunkan dan membentangkan cadangan penyelesaian.

“Proses tersebut bukan sahaja menguji keupayaan teknikal, malah mengembangkan kemahiran insaniah seperti pemikiran kritis, komunikasi, kerja berpasukan dan kreativiti,” ujarnya.

Program itu turut menerima penyertaan Politeknik Aceh, Indonesia sebagai peserta ASEAN, selain institusi pendidikan dan TVET dalam negara termasuk Kolej Vokasional Juasseh, TVETMARA Lumut dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Raub.

Katanya, penyertaan rentas institusi dan negara itu membuka ruang kepada peserta untuk bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman dalam bidang data, teknologi dan inovasi.

"Usaha memperkukuh kemahiran digital dalam kalangan warga POLYCC perlu diteruskan bagi memastikan graduan bukan sekadar menjadi pengguna teknologi.

"Tetapi turut berupaya meneroka, mencipta dan menggunakan teknologi dalam menyelesaikan permasalahan sebenar," tambah beliau.


Tag :

Jalur Gemilang

Artikel Berkaitan