• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

560 Buah Rumah Rosak Dibadai Ribut

Ustaz Ridzuan Hashim (kiri).
Oleh: Mohd Haniff Abas

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 560 buah rumah mengalami kerosakan dalam kejadian ribut petang semalam dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, masyarakat perlu saling bantu membantu antara satu sama lain lebih-lebih lagi pada ketika ini.

"Saya memohon setiap mangsa ribut agar bersabar kerana pihak jawatankuasa bencana DUN Buluh Gading sedang berusaha untuk menyelesaikan pembaikan rumah yang rosak.

"Semua pihak perlu prihatin dan menghulurkan bantuan kepada mangsa dengan memberi sumbangan berikutan kos pembaikan yang agak besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita pada hari ini (4 September).

Sementara itu, Pegawai Khas ADUN Buluh Gading, Ustaz Saufi Hashim berkata, sebanyak 25 buah kampung terlibat dalam kejadian ribut pada petang semalam yang membabitkan kerosakan atap, struktur kediaman dan juga infrastruktur awam.


“Kita sangat bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan walaupun kejadian ribut ini membabitkan kerosakan yang sangat banyak”, tambahnya.

Beliau juga memaklumkan kutipan derma kilat telah dilancarkan untuk membantu mangsa ribut yang terlibat.

Kejadian ribut yang berlaku selama 30 minit itu bermula pada jam 3.40 petang dan berakhir pada jam 4.10 petang dengan kerugian yang masih belum dapat dipastikan lagi.

Menurut Ustaz Saufi Hashim, antara kampung yang teruk dilanda ribut adalah Kampung Kebor Besar, Kampung Banggul Tok Esah dan Kampung Kebor Air.


“Saya mengucapkan takziah kepada mangsa yang terlibat dan diharap dapat bersabar dengan ujian ini kerana setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

"Insya-Allah kita akan berusaha untuk menyelesaikan pembaikan kediaman penduduk dalam masa yang singkat”, ujarnya.

Tag: