• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

574 Mangsa Banjir DUN Ajil Terima Bantuan RM1,000

HULU TERENGGANU, 31 Mac – Seramai  574 mangsa banjir luar jangka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil  menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) masing-masing semalam.

Salah seorang penerima bantuan, Mansor Salleh, 76, dari Kampung Kua di sini bersyukur kerana bantuan wang tunai tersebut dapat mengurangkan beban mangsa banjir sepertinya.

Menurutnya, pemberian bantuan itu akan digunakan sebaik mungkin terutama bagi persiapan menyambut ramadan dan membeli keperluan lain yang mengalami kerosakan akibar bencana tersebut.

“Gembira dan lega sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan beban kami selepas mengalami banyak kerugian sebelum ini.

“Terima kasih kepada kerajaan atas bantuan ini, sekurang-kurangnya ia meringankan beban saya. Alhamdulillah, semua dipermudahkan sepanjang proses mendapatkan bantuan ini," katanya.

 


Bagi Che Wahab Che Hassan, 83, dari Felcra Insitu Kampung Betong pula, dia sangat menghargai bantuan kerajaan untuk membantu mangsa seperti mereka.

“Tidak ada perkataan yang dapat diucapkan selain jutaan terima kasih dan bersyukur kepada kerajaan atas keprihatinan membantu penduduk yang ditimpa musibah dan menanggung kerugian besar selepas banyak barangan dan kelengkapan rumah rosak akibar banjir diluar jangka,"ujarnya lagi.

Menyifatkan penyerahan segera bantuan itu sebagai tindakan terbaik kerajaan kerana memahami kesusahan dihadapi rakyat, beliau berkata, penduduk tidak berhadapan kerenah bagi mendapatkan bantuan, hanya perlu mengisi borang dan menyertakan dokumen sokongan kepada JPKK sebelum permohonan diluluskan segera.


Seorang lagi mangsa banjir, Yahya Ngah, 78, berkata, keprihatinan yang ditunjukkan kerajaan dalam membantu mangsa banjir amat dihargai apabila menerima jumlah bantuan sehingga RM1,000.

“Apabila berlakunya banjir ada diantara kelengkapan rumah yang akan rosak dan perlu diganti baharu, jadi duit ini akan digunakan sebaik mungkin,” katanya.

Bantuan tersebut disampaikan oleh ADUN Ajil, Maliaman Kassim pada Majlis Bantuan Wang Bantuan Ihsan Bencana Banjir Daerah Hulu Terengganu Fasa 1 di Masjid Pengkalan Ajal di sini semalam.

Sementara itu, Maliaman berkata, seramai 574 mangsa banjir DUN Ajil yang terjejas dalam kejadian pada akhir Februari lalu menerima sumbangan wang ihsan bagi fasa 1.

“Dengan sumbangan ini, diharap dapat meringankan bebanan mangsa banjir yang turut mengakibatkan kerosakan harta benda.

“Selain sumbangan wang ihsan ini, bantuan mangsa banjir dalam bentuk baik pulih 92 rumah serta membina sebuah rumah baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil yang terjejas akibat banjir sudah bermula,"kata beliau.

Tambahnya, dana bagi menampung segala perbelanjaan baik pulih berkenaan daripada Kerajaan Negeri,dari orang perseorangan serta hasil sumbangan daripada orang ramai.