• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

59 Bayi Permata Maulidur Rasul Lahir di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 28 September - Seramai 59 bayi Maulidur Rasul dilahirkan di negeri ini, membabitkan masing-masing 32 bayi lelaki dan 27 perempuan dengan kelahiran pertama bayi perempuan seberat 3.4 kilogram pada jam 7.13 semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mencatat kelahiran tertinggi iaitu 38 bayi, 10 di Hospital Kemaman, enam di Besut, tiga di Dungun dan dua  di Hulu Terengganu sehingga jam 4 petang tadi.

"Pada hari ini, kita turut menyampaikan sumbangan berupa hamper bernilai RM50 dan bantuan tunai RM100 melalui program Permata Maulidur Rasul yang telah pun bermula sejak tahun 2013.

"Semoga semua sumbangan ini akan menceriakan lagi keluarga bayi bertuah Maulidur Rasul dan berharap semua bayi ini akan menjadi anak yang soleh dan solehah kepada ibu bapa mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Permata Maulidur Rasul Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1445H/2023M bertempat di Pusat Rawatan Ibu & Bayi (PRIBA), Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja; Pegawai Kewangan negeri, Dato' Nara Setia, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Kasemani Embong dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad  Hashim.  

Seorang ibu, Mimi Azuani Mohd Lazim, 36, berkata, dia amat bersyukur selepas anak ketiganya lahir pada hari Maulidur Rasul.

"Mengikut perkiraan doktor, bayi saya sepatutnya dilahirkan pada 3 Oktober depan tetapi ketika dalam perjalanan balik ke kampung halaman di Bachok, Kelantan... saya mula mengalami sakit seperti ingin buang air besar.

"Pada mulanya kami mencari tandas di hentian rehat dan rawat berdekatan tapi sakitnya belum hilang menyebabkan saya mula rasa ia tanda hendak bersalin.

"Sebaik sahaja saya memaklumkan kepada suami, dia terus memandu menuju ke HSNZ dan tiba pada 6.50 petang, terus dimasukkan ke bilik bersalin..Alhamdulillah semua selamat," katanya.