• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

592 Peserta Bakal Tawan Gunung Tebu

KUALA TERENGGANU, 4 September - Seramai 592 Peserta Mount Tebu Climbathon Challenge 2023 (MTCC’23) bakal menawan puncak Gunung Tebu pada 9 September 2023 di Taman Eko Rimba, Lata Belatan, Besut, Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata penganjuran itu diadakan bertujuan mengajak orang ramai bagi membudayakan aktiviti bersukan yang cergas melalui elemen pendakian gunung. 

Katanya, acara ini menjadi platform untuk mempromosikan pelbagai keindahan dan keunikan hutan lipur, air terjun dan gunung ganang yang ada di Negeri Terengganu dengan mempromosikan pelancongan sukan ‘Sports Tourism’.

“Program MTCC ini adalah acara berkonsep ‘Trail Run/Perlumbaan gunung yang dihidupkan semula dalam membawa elemen penghayatan alam semulajadi dan ‘Sport & adventure tourism’ di Besut, Terengganu.

“Gunung Tebu yang berketinggian 1,039 meter dari paras laut semestinya merupakan destinasi gunung Terengganu yang menjadi tumpuan para pendaki di Malaysia.

“Di kaki gunung yang merupakan Hutan Lipur Lata Belatan sentiasa menjadi tarikan pengunjung untuk aktiviti rekreasi keluarga terutamanya disetiap hujung minggu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang media dan Penyerahan Penajaan Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC) 2023 bertempat di Aras Bawah, Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria dan Pengarah Program, Mohd Rafi Kori.

Tambah Razali, program tersebut menawarkan tiga kategori utama sejauh 18.5 km melibatkan penyertaan terbuka lelaki dan wanita.

Antaranya, veteran lelaki dan wanita (KATEGORI CENGAL) serta tertutup Terengganu lelaki dan wanita (KATEGORI MERANTI) yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM19,300.

Manakala, satu lagi kategori sebagai ‘Fun Run’ dikenali KATEGORI NYATUH sejauh 5 km ditawarkan untuk peserta yang ingin merasai kemeriahan larian dalam suasana secara santai.

"Pelepasan MTCC yang melibatkan pelbagai kategori akan berlangsung pada 7.30 pagi, 9 September 2023.

"Peserta kategori utama akan mengharungi cabaran denai gunung sejauh 18.5 km naik dan turun dan akan melibatkan Had Masa (Cut Of Time) tiba di Puncak Gunung Tebu dalam tempoh 5 jam sahaja.

"Rekod peserta terpantas sebelum ini adalah 1 jam 43 minit 47 saat (Peserta Kenya), manakala rekod peserta tempatan adalah 2 jam 10 minit 09 saat (Peserta MTCC Tahun Lepas) dari Terengganu," katanya.

Melalui acara ini katanya, impak ekonomi pelancongan akan terus bermanfaat kepada penduduk dan industri pelancongan setempat di daerah Besut.

"Sama ada melibatkan hotel dan rumah penginapan, restoran, kedai kedai runcit, pulau perhentian dan sebagainya.

"Secara tidak langsung juga dapat membuka minda penduduk setempat dalam mengambil seberapa banyak peluang ekonomi disebalik bertandang di Daerah Besut," jelasnya.

Selain itu, acara ini juga bertujuan salah satu usaha bagi menggerakkan peranan Malim Gunung Perhutanan (MGP) Terengganu yang telah dijayakan pada tahun 2022.

“Terima kasih rakan rakan penaja iaitu Syarikat Air Terengganu, EPIC Group, Universal Fitness Leisure (UFL), F&N, Minyak Herba Asma, Atwa Stolen, My Coklat, Arena Sports, Brooks, Manis FM.

"Acara ini melalui anjuran bersama Kelab Kembara Terengganu (Terengganu Backpackers) dan TAC Outdoor dengan sokongan Tourism Malaysia, Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

"Dijemput kepada semua yang berdekatan untuk hadir ke Taman Eko Rimba Lata Belatan Jumaat dan Sabtu ini," ujarnya.

Sementara itu, pelbagai aktiviti sampingan yang diadakan sempena program tersebut antaranya pameran dan jualan sukaneka air bersama pengunjung, busking, mewarna kanak kanak, kuiz pelancongan serta ‘Outdoor Challenge’.

 


Tag: