• 09 Mei 2024 | 1 Zulkaedah 1445

60 Penerima Bersyukur Terima Bantuan Bakul Makanan

HULU TERENGGANU, 26 NOVEMBER - 60 penerima bantuan bakul makanan menarik nafas lega apabila menerima sumbangan daripada Persatuan Pengguna Islam Malaysia ( PPIM ) dan orang perseorangan yang diselaras oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN Ajil.

Rata-rata mereka melafazkan rasa syukur dan terharu atas pemberian bantuan itu.

Seorang warga emas, Harun Ahmad, 61, berkata, bantuan itu amat bermakna baginya dan beliau berterima kasih kepada pihak yang memberi sumbangan.

“Allah sahaja mampu membalas jasa semua pihak yang datang sampaikan bantuan kepada saya.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang menghulurkan bantuan  kerana membantu rakyat yang kurang berkemampuan seperti kami” katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pagi tadi.

Perasaan sama dikongsikan Munah Ali, 77, yang berharap lebih banyak bantuan seperti itu disalurkan kepada individu memerlukan pada masa akan datang.

“Syukur Alhamdulillah dengan rezeki diberikan. Semoga pihak yang memberi bakul makanan ini dilimpahkan rezeki dan dikurnia kesihatan berterusan,” katanya yang menetap di Kampung Betong.

Bagi Zamilah Sulaiman, 49, berkata, bakul makanan ini sangat membantu dirinya dalam meringankan beban memandangkan dia seorang ibu tunggal dan hanya bekerja sebagai buruh ladang dengan pendapatan RM 700 sebulan.

“Saya ucap terima kasih serta bersyukur kepada Allah atas bantuan ini kerana Bakul Makanan ini menjadi penyelamat bagi menampung perbelanjaan dapur,” katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim berkata, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bukan sekadar membantu kerajaan, tetapi lebih utamanya adalah menjadi tulang belakang kepada golongan yang memerlukan dan menyokong mereka dalam bentuk pek makanan dalam membantu rakyat kesusahan yang memanfaatkan ribuan isi rumah.

"Peranan yang dilaksanakan oleh NGO ini adalah serentak dengan tanggungjawab menyelaraskan bantuan bakul makanan kepada golongan sasar selain tambahan kepada bantuan bakul makanan yang disalurkan oleh kerajaan," ujar beliau.