• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

600 Pelajar Terjejas Banjir Terima Bantuan

BESUT, 8 Januari – Seramai 600 pelajar yang terjejas dalam kejadian banjir besar melanda di daerah ini pada bulan lalu menerima kit bantuan barangan keperluan persekolahan melalui Misi Bantuan Banjir Ganu Eco Charity 3.0.

Presiden Pertubuhan Forum Udara Bersih (MyCAS) yang juga pensyarah di Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Informatik Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Noor Zaitun Yahaya berkata ia bagi meringankan beban pelajar berkenaan.

"Misi bantuan kebajikan itu digerakkan selepas melihat kesan bencana teruk yang menimpa mangsa di beberapa daerah di Terengganu merupakan program pengagihan siri ketiga selepas bantuan yang sama diadakan di daerah Dungun baru-baru ini.

"Semua penerima sumbangan merupakan pelajar terpilih daripada 11 buah sekolah menengah dan rendah di daerah Besut,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Sumbangan tersebut disampaikan Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Informatik UMT, Prof Ir Dr Mohammad Fadhli Ahmad dalam satu majlis diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Nering di sini pada Sabtu.

Menurut beliau, program tersebut mendapat sokongan daripada Yayasan Hasanah serta beberapa NGO yang lain seperti Pertubuhan Aspirasi Jaringan Wanita Malaysia (AJWA), Majlis Dewan Wanita Terengganu MDWNT, Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA).

Selain itu katanya, turut mendapat perhatian Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia (SALIMAH) Terengganu, Pertubuhan IKRAM Negeri Terengganu, Kelab MUTIARA, UMT dan Ngukah Walk Fit Hulu Terengganu.

Tambahnya lagi,selain keperluan sekolah, sebanyak 300 pek bantuan berupa kit kebersihan dan barangan dapur turut diagihkan kepada keluarga mangsa terjejas banjir melibatkan dana keseluruhan berjumlah RM40,000.