• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

600 Sukarelawan T-Volt Bantu Mangsa Banjir Di Pahang Bermula Esok

KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Lebih 600 pasukan sukarelawan yang terdiri daripada Urus Setia Belia Sukan (UBSNT) melalui T-Volt (Terengganu Volunteer) akan mengadakan operasi bantuan pasca banjir 2021 ke Pahang selama tiga hari bermula esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, sukarelawan yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan di Terengganu akan dihantar bagi membantu mangsa banjir di Pahang.

Katanya, antara yang terlibat kali ini adalah Urus Setia Belia, Sukan dan NGO, Urus Setia Penerangan Darul Iman, Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Daerah, Angkatan Pertahanan Awam, Polis, Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengaliran dan Saliran.

"Ia merupakan hasrat kerajaan negeri bagi meringankan beban mangsa banjir di Pahang untuk membersihkan rumah mangsa banjir dan mengadakan dapur rakyat di kawasan yang terlibat.

"InsyaAllah selagi mampu, kita bantu semua mangsa banjir, tidak kira agama, bangsa dan latar belakang," ujarnya ketika dihubungi.

Hanafiah yang juga merupakan Pengarah Misi Banjir kali ini berkata, semoga dengan kehadiran sukarelawan itu dapat meringankan beban dan kesusahan yang mereka alami. 

Tambahnya, kesemua sukarelawan yang terdiri lelaki seramai 449 orang dan wanita (172) bersama empat buah bas, kenderaan pancuan empat roda dan kenderaan persendirian akan bertolak ke Temerloh, Pahang, kira-kira jam 8.00 pagi esok.

Dalam perkembangan yang sama, beliau turut membekalkan  sebuah mesin 'case',  dua buah lori dengan kapasiti 10 tan untuk proses pembersihan sampah di sana.