• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

6,094 Saman Pelbagai Kesalahan Trafik Dikeluarkan Dalam Tempoh Tiga Hari

KUALA NERUS, 31 Januari- Sebanyak 6,094 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas dikeluarkan Polis Terengganu dalam tempoh tiga hari pertama pelaksanaan Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina, sejak Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Komisioner (SAC) Wan Rukman Wan Hassan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 5,042 merupakan saman atas kesalahan pandu laju.

Katanya, kemasukan sehingga 37,836 kenderaan dalam sehari di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan saman trafik berkenaan.

“Pada 28 dan 29 Januari lalu, jumlah kenderaan di LPT2 dikesan meningkat tiga kali ganda berbanding kebiasaan.

“Di samping itu, sebanyak 98 kes kemalangan dengan dua kematian direkodkan sepanjang tiga hari Op Selamat berbanding 85 kes dan tiga kematian yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas pelancaran Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.

Sementara itu, Wan Rukman berkata, polis turut membuat tujuh sekatan jalan raya di seluruh negeri dengan melibatkan seramai 163 anggota dan pegawai Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT).

Katanya, selain untuk membendung peningkatan kemalangan jalan raya dan kematian, Op Selamat juga dapat melancarkan aliran trafik di samping mencegah kejadian pecah rumah.

“Tumpuan kita adalah kepada enam kesalahan utama antaranya had laju, melanggar lampu isyarat, penggunaan telefon bimbit ketika memandu dan memotong garisan berkembar,” katanya.