• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

6,267 Rakyat Terengganu Dapat Manfaat Tabung Darul Iman

KUALA TERENGGANU, 13 Disember - Seramai 6,267 penduduk di Terengganu yang ditimpa musibah dan menghidap penyakit kronik mendapat manfaat daripada Tabung Darul Iaman (TDI).

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ia membabitkan perbelanjaan lebih RM5.3 juta sepanjang tempoh 10 bulan tahun ini.

Katanya, daripada jumlah itu bantuan paling banyak dibelanjakan adalah Bantuan Sara Diri Tahunan iaitu RM2.4 juta.

"Manakala bantuan yang sebelum ini dikenali sebagai Bantuan Penyakit Kronik pula memberi manfaat kepada 4,438 penerima yang merupakan penghidap penyakit kronik seperti kanser, jantung, kegagalan buah pinggang dan strok.

"Bagi bantuan musibah, seramai 174 orang mendapat bantuan ini melibatkan peruntukan RM1.6 juta manakala bantuan susu dan lampin pakai buang pula diberikan kepada 1,428 penerima dengan jumlah bayaran RM960,646.

"Tetapi bantuan masuk hospital atau bil hospital pula tidak disediakan kerana Tabung Darul Iman hanya menyediakan Bantuan Perubatan melalui Surat Jaminan (GL). Bantuan perubatan ini adalah melibatkan bantuan implan, peralatan perubatan dan ubat-ubatan yang tidak disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Dalam pada itu, Hanafiah berkata, seramai 227 pesakit mendapat manfaat Bantuan Perubatan melibatkan peruntukan RM322,475 dalam tempoh sama tahun ini.

"Tabung Darul Iman adalah gabungan daripada tiga tabung sedia ada iaitu Tabung Darul Iman, Tabung Bantuan Penyakit Kronik dan Dana Kebajikan Sosial Perubatan yang bertujuan mengurus dan menyelaras bantuan secara sistematik dan efisien," katanya.

 


Tag: