• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

65 Pelajar Terengganu Jadi Anak Yatim Akibat COVID-19

KUALA TERENGGANU, 19 September – Sejumlah 65 pelajar di Terengganu menjadi anak yatim ekoran kematian ibu atau bapa atau kedua-duanya atau penjaga disebabkan wabak COVID-19 di negeri tersebut.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff berkata, jumlah tersebut adalah pecahan daripada keseluruhannya iaitu 4,422 murid yang terlibat di seluruh negara sehingga 13 September lepas.

“Statistik keseluruhan juga mendapati murid kematian bapa disebabkan pandemik adalah 2,687 murid di Malaysia dengan Terengganu 46 orang, antara kes terendah berbanding 993 murid di Selangor.

“Dalam pada itu, 1,441 murid lagi kehilangan ibu ekoran Covid-19 dengan Selangor masih tertinggi iaitu 522 manakala paling sedikit kekal di Perlis iaitu tiga diikuti 17 murid di Terengganu.

“Dua murid disenaraikan dalam data bilangan anak yatim piatu yang kematian penjaga mereka akibat Covid-19 daripada jumlah 140 murid di seluruh negara,” katanya sepertimana dilaporkan Utusan Online, baru-baru ini.

Namun begitu, ujar Siti Zailah, tiada murid dikesan Kementerian Pendidikan yang terus menjadi anak yatim piatu akibat wabak maut itu di Terengganu, termasuk di Pahang, Perlis, Pulau Pinang, WP Labuan dan WP Putrajaya.