• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

65 Peluncur Udara 'Terbang' Sebar Semangat Merdeka

BESUT, 28 Ogos - Seramai 65 peluncur melakukan penerbangan luncur udara 'Merdeka Fun Fly' sempena 65 tahun kemerdekaan di Bukit Bubus.

Pengerusi pengelola program, Fahami Zakaria berkata, persembahan tersebut merupakan salah satu acara dalam Terengganu International Air Festival (TIAF) yang berlangsung selama tujuh hari, bemula semalam di Besut Paragliding Park di sini.

"Kita cuba realisasikan semangat kemerdekaan yang membawa erti kebebasan dan penerbangan kali ini menjadi antara penyertaan 'paraglider' terbesar diadakan di sini.

"TIAF ini kali pertama diadakan dengan kerjasama pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) di Besut ini. Kita menerima penyertaan 50 'paraglider' dari seluruh negeri termasuk penyertaan dari Thailand, Singapora dan Hong Kong, 20 peluncur para-motor serta penglibatan 30 wau tradisional yang mengadakan persembahan wau bersama beberapa layang-layang gergasi di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian TIAF yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa. Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro. Dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Mohd Azizul Arif Yahaya dan Pengarah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Terengganu, Zanariah Zakaria.

Sementara itu, Mohd Azizul memaklumkan, TIAF memiliki potensi yang boleh dibangunkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Program ini dilihat sebagai satu usaha bagus di kalangan penggalak industri pelancongan, kami memang menyokong penuh aktiviti yang membantu ekonomi tempatan serta kita ada geran-geran yang diluluskan kerajaan untuk membantu pihak berkaitan untuk menjana ekonomi 'spillover effect' kepada komuniti setempat untuk membangunkan tempat ini menjadi satu dentinasi pelancongan.

"Kami rasa tempat ini masih boleh dimajukan dengan tambahan kemudahan dan infrastruktur sehingga jika diusahakan, ia boleh mencapai satu tahap menjadi 'top ten asean paragliding park'.

"Ini tentulah dengan usaha bersama pelbagai pihak melibatkan NGO, penduduk, kerajaan negeri dan mungkin agensi-agensi pelancongan sudah boleh mengadakan pakej-pakej berkaitan sukan luncur udara ini," katanya.

Tambahnya, penyertaan Tourism Malaysia melalui suntikan dana kepada TIAF adalah sebagai satu permulaan untuk memacu kemajuan industri pelancongan ke arah lebih baik.

 

 

 


Tag: