• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

666 Pelajar Dirai Dalam Majlis Graduasi Dan Anugerah Hafazan Imtiaz

KUALA TERENGGANU, 7 Jun - Seramai 666 pelajar diraikan sempena Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2021.

Pengarah Yayasan Terengganu, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu merupakan majlis tahunan yang diadakan bertujuan memberi penghargaan serta meraikan pelajar Tingkatan 5 yang akan menamatkan pengajian mereka di Imtiaz.

Katanya, majlis tersebut juga bertujuan menzahirkan pengiktirafan Kerajaan Negeri dan Yayasan Terengganu kepada para pelajar yang telah berjaya menghafaz kesemua 30 juzuk al-Quran, selaras dengan prinsip Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 iaitu Pembentukan Modal Insan Berkualiti.

"Alhamdulillah, hari ini kita meraikan 529 orang pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu yang telah berjaya menamatkan pengajian setelah lima tahun di Imtiaz serta 453 merupakan pelajar yang terdiri daripada Tingkatan 2, 4 dan 5 yang telah khatam 30 juzuk al-Quran.

"Buat julung-julung kali juga, majlis ini diadakan untuk meraikan pelajar Tingkatan 6 Tahfiz yang turut sama bergraduasi," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2021 yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Taman Tamadun Islam, hari ini.

Katanya, diantara anugerah yang disampaikan pada majlis tersebut adalah Anugerah Quranik, Anugerah Ibnu Sina, Anugerah Al Fateh, Anugerah Al Farabi, Anugerah As Syafie dan Anugerah Tokoh Ulul Albab.

"Jadikan segala ilmu serta pengalaman di Imtiaz sebagai panduan hidup bagi menempuh perjalanan dalam meneroka ilmu pengetahuan ke peringkat yang lebih tinggi selepas daripada ini.

"Tahniah dan syabas saya ucapkan, juga kepada Hafiz dan Hafizah yang telah khatam 30 juzuk al-Quran dimana meraka juga menerima sijil hafazan berserta wang tunai berjumlah RM1,000 bagi setiap seorang," ujarnya.