• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

70 'Barber' Dapat Bantuan RM200

HULU TERENGGANU, 3 Ogos - Sebanyak RM14,000 telah diperuntukkan oleh Parlimen Hulu Terengganu bagi bantuan kewangan khas untuk tukang gunting rambut yang terjejas teruk sejak penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Ahli Parlimennya, Dato' Rosol Wahid berkata, bantuan berupa wang tunai RM200 tersebut disalurkan kepada 70 tukang gunting rambut yang berdaftar 

"Ia bagi membantu mereka berdepan cabaran Covid-19 khususnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 apabila perkhidmatan salon dan gunting rambut tidak dibenarkan beroperasi.

"Dan kini mereka telah dibenarkan kembali beroperasi tetapi dalam situasi yang agak sukar jadi kita tolong meringankan beban mereka sebelum perniagaan kembali stabil," ujarnya kepada pemberita selepas agihan bantuan kepada 'barber',  semalam.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Tukang Gunting Daerah Hulu Terengganu, Abdul Hafiz Abdullah, 33, berkata sumbangan tersebut merupakan satu penghargaan buat mereka yang hanya bergantung kepada  hasil gunting rambut.

Katanya, kebanyakan pengusaha kedai gunting terdiri daripada kalangan belia yang berusia 30 tahun ke bawah di samping mereka yang baharu memasuki alam pekerjaan.

"Secara keseluruhannya tukang gunting rambut adalah golongan berpendapatan harian, dibayar mengikut bilangan orang yang mereka telah gunting rambut.

"Apabila ada pihak yang tampil memberikan bantuan, orang seperti kami amat berasa lega dan menghargainya," ujarnya lagi.

Tambah Abdul Hafiz, dia berharap situasi Covid-19 akan bertambah baik bagi memboleh­kan rakyat termasuk golo­ngan peniaga dapat memulihkan kembali ekonomi seperti biasa sebelum wabak pandemik melanda.