• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

70,073 Remaja Terengganu Terima Dos Pertama Vaksin

KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - Seramai 70,073 atau kira-kira 50.7 peratus remaja di Terengganu telah menerima dos pertama vaksin Covid-19 setakat 1 Oktober lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dato' Dr. Kasemani Embong berkata, jumlah itu daripada keseluruhan 138,100 remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negeri ini.

Katanya, berdasarkan tempoh sama, seramai 2,736 orang atau 2 peratus pula direkodkan lengkap dua dos suntikan berkenaan.

“Kepada para ibu bapa, pastikan anak-anak yang layak, hadir mendapatkan dos lengkap vaksin Covid-19.
 
“Sebanyak 57 sekolah di seluruh negeri dipilih sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) untuk remaja yang beroperasi sejak 21 September lalu hingga Khamis ini,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Tambahnya, pencapaian itu merupakan kejayaan membanggakan terutama bagi rakyat Terengganu sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan pada 15 September lalu.

Menurut Kasemani, PICK Remaja turut dilaksanakan secara walk-in di klinik kesihatan bagi pelajar berasrama penuh dari negeri dan daerah selain Terengganu, individu yang tidak bersekolah di samping remaja berumur 12 tahun yang sudah mencapai tarikh lahir.
 
Sementara itu, katanya, seramai 738,839 atau 91.4 peratus populasi dewasa Terengganu mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 manakala 686,363 atau 84.9 peratus pula telah melengkapkan vaksinasi berkenaan.