• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

72 Penduduk Bujal Kembali Dapat Hak Tanah

KEMAMAN, 10 Disember – Seramai 72 penduduk Kampung Bujal di sini kembali mendapat tanah mereka selepas proses penyerahan hak milik tertangguh lebih 16 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, setelah pelbagai peristiwa pahit dilalui para penerima terbabit kini dapat memajukan kembali tanah yang diperolehi.

"Terima kasih kepada para pemohon kerana bersabar, diharapkan agar pemohon seterusnya memahami urusan berkaitan hak milik tanah ini kerana perkara tersebut memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit.

“Syukur kepada Allah SWT kerana hari ini kerajaan Terengganu dapat memberi geran tanah terkilan kepada 72 orang di Kijal pada majlis fasa pertama ini.

 “Bagi Fasa kedua, sebahagian kecil lagi masih berada di Pejabat tanah disini dalam proses melengkapkan maklumat untuk dibawa kepada PTG dan terus ke Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri (MMKN), saya harap dalam tiga atau empat bulan insya-Allah dapat menyerahkan kepada 62 permohonan berbaki ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok Terkilan Bagi Tapak Bangunan Kediaman di Desa Makmur Bujal, Kijal, Kemaman hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab. Razak Ibrahim, Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh dan Pegawai Daerah Kemaman, Mohd Sophian Abu Bakar.

Menurut seorang penerima, Zaitun Che Ku Abdul, 59, dia menyuarakan rasa syukur dan lega atas pengembalian hak tanah yang ditunggu sejak 16 tahun lalu.

"Terima kasih kepada Yang Berhormat dan kerajaan dalam usaha ini. Dulu rumah diruntuh tapi sekarang ini rumah baharu akan dibina untuk keluarga," kata ibu kepada tiga orang anak itu.

Sementara itu, Samsudin Abdullah, 71, berkata, dia gembira setelah hak yang dinafikan kini dikembalikan dan berterima kasih terhadap usaha kerajaan dalam memperjuangkan perkara tersebut.

“Syukur kepada Allah SWT dan terima kasih atas usaha kerajaan negeri, belum pernah saya miliki tanah sebelum ini,  walaupun sudah berusia tua, diharapkan supaya masjid dapat didirikan kembali di Kampung Bujal bagi kegunaan bakal penduduk di sini.

"Insya-Allah tanah akan dimanfaatkan untuk membina rumah bagi kemudahan anak-anak saya," tambahnya.