• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

72 PPV Untuk Dos Penggalak  Dibuka Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 11 Januari - Terengganu mengaktifkan 72 pusat pemberian vaksin PPV COVID-19 di semua lapan daerah di negeri itu bagi meningkatkan kapasiti pemberian suntikan dos penggalak di Terengganu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu, Dato Dr Kasemani Embong berkata, jumlah itu melibatkan operasi 24 PPV klinik kesihatan kerajaan, PPV klinik swasta (39), PPV hospital swasta (dua) dan tujuh PPV 'off-site'.

"Empat PPV off-site yang telah beroperasi ialah di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, Kuala Terengganu; Dewan Sivik Bijangga, Dungun; Dewan Gong Kemuntong, Besut dan Rimba Square di Kuala Nerus.

"Bermula hari ini, tiga lagi PPV 'off-site' juga memulakan operasi iaitu di Dewan Serbaguna Tepoh, Kuala Nerus; Dewan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin di Dungun dan lot kedai Padang Laban, Bukit Payong di Marang," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah beliau lagi, seramai 179,300 orang atau 24.9 peratus daripada jumlah populasi rakyat Terengganu sudah menerima dos penggalak sejak suntikan itu mula diberikan kepada umum sehingga Sabtu.

Dalam pada itu, Dr Kasemani juga berkata , kes harian positif Covid-19 di Terengganu juga menunjukkan penurunan sejak tiga hari lalu dengan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) berada pada bacaan 0.87 dalam tempoh tersebut.

“Kes positif di Terengganu turut menunjukkan pengurangan apabila pendaftaran kes juga direkodkan berada di bawah 100 kes dalam tempoh tiga hari sehingga semalam,”ujarnya.