• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

731 Entiti Dilantik Selia Bekalan Barangan Ketika Banjir

HULU TERENGGANU, 30 Oktober - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) setakat ini melantik 731 peruncit, pemborong dan pengilang terpilih bagi menyelia bekalan barang keperluan asas ketika banjir.

Timbalan Menterinya, Dato Rosol Wahid berkata ia melibatkan 428 peruncit terpilih daerah (DDR), 299 pemborong terpilih daerah (DDW) dan empat pengilang terpilih daerah (DDM) di 246 kawasan di seluruh negara.

"Mereka telah diberikan kebenaran untuk menyimpan tambahan 30 peratus kuota bekalan makanan dan keperluan asas terutama dalam menghadapi jangkaan musim tengkujuh.

"Ini sebagai persediaan untuk memastikan kecukupan bekalan makanan dan keperluan di 1,030 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan penduduk di kawasan
berisiko banjir seluruh negara," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Pelancaran Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative - ReDI) di Pasar Besar Kuala Berang, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan Pengarah KPDNHEP negeri, Saharuddin Mohd Kia.

Dalam pada itu, Rosol turut menasihati pengguna supaya tidak panik dan mengelakkan membuat pembelian secara banyak atau berlebihan kerana bekalan barang kawalan dan keperluan asas sentiasa mencukupi.