• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

747 Orang Asli Terengganu Terima Vaksin

HULU TERENGGANU, 25 September- Seramai 747 Orang Asli di Terengganu  menerima suntikan vaksin COVID-19, hasil pelbagai kempen yang dijalankan untuk meningkatkan kesedaran mereka mengenai kepentingan suntikan tersebut.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dato' Dr Kasemani Embong berkata, jumlah itu meliputi 327 Orang Asli di Sungai Berua, Hulu Terengganu, 398 orang di Sungai Pergam, Kemaman dan 22 orang di Hulu Besut.

"Untuk hari ini, kita selesaikan di Sungai Berua dan diteruskan kepada masyarakat Orang Asli di Sungai Pergam, Kemaman pula pada esok.

"Semua Orang Asli yang layak divaksin di dua perkampungan ini menerima vaksin jenis CanSino," katanya selepas meninjau proses pemberian vaksin kepada Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Sungai Berua, di sini hari ini.

Dalam masa yang sama, program yang turut mendapat kerjasama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) itu turut melibatkan saringan penyakit kusta dan pemeriksaan pergigian.

Tambah Dr Kasemani lagi, 23 Orang Asli di Kuala Sayap, Hulu Besut, sudah lengkap menerima dua dos vaksin jenis Pfizer dan Sinovac pada bulan lepas.