• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

74,910 Indvidu Dewasa Terengganu Dicari Untuk Vaksinasi

KUALA TERENGGANU, 15 September – Kerajaan Terengganu menggesa 74,910 penduduk dewasa di negeri ini yang masih belum menerima janji temu suntikan vaksin COVID-19 supaya mendapatkan suntikan vaksin dengan kadar segera.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia boleh dilakukan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) awam berdekatan dengan cara ‘walk-in’ atau panggilan Mysejahtera.

Katanya, perkara yang sedang berlegar di kalangan anggota Jawatankuasa Menangani Krisis COVID-19 Terengganu ialah kadar vaksinasi di Besut, Setiu dan Dungun adalah rendah.

“Agensi kerajaan di daerah berkenaan sudah mencari seramai mungkin individu yang belum divaksin berdasarkan data yang ada, tetapi gagal dikesan di mana mereka berada.

“Kita tidak tolak kemungkinan mereka mungkin berada di negeri lain berikutan migrasi pekerjaan atau telah menerima vaksin di daerah lain (tetapi tidak direkodkan).

“Apapun agensi kerajaan terlibat seperti pejabat kesihatan daerah, pejabat tanah dan daerah dan jawatankuasa pembangunan dan keselamatan kampung (JPKK) telah diarahkan untuk mencari mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulung perbahasan titah Diraja pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, kadar vaksinasi lengkap dalam kalangan populasi dewasa Terengganu kini sudah mencecah 70 peratus.

Jelasnya, seramai 90 peratus individu dewasa di negeri tersebut pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin COVID-19.

“Sehubungan itu, kita menyasarkan 90 peratus populasi dewasa Terengganu akan melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 dalam tempoh tiga minggu lagi.

“Sekiranya kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) hospital dalam kalangan pesakit Covid-19 dapat dikawal, Terengganu boleh melangkah ke fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada bila-bila masa,” tambah beliau.


Tag: