• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

753 Penduduk Pulau Redang Terima Suntikan Vaksin

KUALA NERUS, 31 Julai – Seramai 753 orang penduduk Pulau Redang menerima suntikan vaksin COVID-19 dos pertama menerusi program Outreach Imunisasi COVID-19 (PICK).

Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ahmad Faris Abdul Razak berkata, pejabat daerahnya yang berperanan sebagai urus setia Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) bagi daerah tersebut berkampung di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Sekolah Kebangsaan Pulau Redang selama dua hari.

“Seramai lebih 700 orang pada hari ini akan disuntik dos pertama vaksin jenis Pfizer manakala selebihnya iaitu terdiri daripada penggiat pelancongan pada hari esok.

“Program PPV Outreach ini dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Terengganu melalui Pejabat Daerah Kuala Nerus, dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta 11 lagi agensi lain.

“Seramai 110 orang petugas termasuk daripada Polis, Rela, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan sebagainya juga memainkan peranan dalam menjayakan PPV selama dua hari ini,” katanya ketika ditemubual pemberita di sini, semalam.

Turut hadir, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Tun Ahmad Faisal Tun Abd Razak.

Sementara itu, Mohd Shafizi berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan semua penduduk di sini divaksin.

“Antara usaha dijalankan Pusat Khidmat Masyarakat seperti turun ke Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memastikan setiap orang mendaftar untuk divaksin.

“Di samping itu, kita juga menghantar nama-nama penerima kepada pihak Kesihatan Daerah,” jelasnya.