• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

77 Peratus Calon Dapat Kerja Di Karnival Usahawan

KUALA NERUS, 27 Mac - Seramai 205 calon berjaya menerima tawaran kerja sepanjang dua hari Program Gerbang Kerjaya sempena Karnival Usahawan Terengganu (KUAT)  yang berlangsung di dataran jambatan angkat.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata jumlah itu daripada keseluruhan 265 yang menghadiri sesi temuduga.

"Kita harapkan ramai pencari kerja akan hadir sepanjang karnival itu berlangsung dan berjaya mencari pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan dan kemahiran mereka. 

"Sama ada dia pilih untuk duduk dalam atau Terengganu bagi saya ia tidak menjadi masalah. Kita kerajaan mahu menyelesaikan masalah rakyat dengan menyediakan seberapa banyak peluang pekerjaan dan bukan dasar kita untuk bawa rakyat keluar bekerja di luar Terengganu," katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Perasmian Karnival Usahawan Terengganu (KUAT) 2022 di Dataran FoodTruck, Drawbridge, Kuala Terengganu di sini hari ini yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, program yang bermula pada 24 hingga 28 Mac itu menawarkan sebanyak 3,070 peluang pekerjaan khususnya kepada rakyat Terengganu yang mana sebanyak tujuh syarikat terlibat dan lima daripadanya menawarkan 1,870 pekerjaan dalam Terengganu.

Antara syarikat terlibat dalam usaha itu ialah Eastern Steel Sdn Bhd, Malaysia Rail Link Sdn Bhd, Mc Donald's, Encompass Industries Sdn Bhd, APTIV, MyBrush dan Samsung Electronics (M) Sdn Bhd.