• 23 Apr 2024 | 14 Syawal 1445

8 Jalan Ditutup Sepanjang PKPD Kampung Kubang Jela

KUALA TERENGGANU, 1 Julai - Lapan penutupan jalan dan satu sekatan jalan raya dikenakan berikutan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Kubang Jela, Mukim Manir bermula hari ini sehingga 14 Julai.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md. Din melaporkan, satu-satunya SJR dilaksanakan terletak di Jalan Kelantan (Hadapan Klinik Kesihatan Manir).

“Sementara itu, antara lokasi jalan ditutup di Lorong 1 dan 2 ke Kampung Banggol Donas, Lampu Isyarat Kubang Jela ke Batu 6 dan Lampu Isyarat Batu 6 ke Kubang Jela.

“Laluan lain termasuk Jalan Sekolah ke Teluk Pasu, Lorong Tali Air ke Teluk Pasu, Sempadan Jalan ke Taman Teluk Pasu dan Lorong Sentosa (Bengkel Kenderaan Mazlin),” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Sehubungan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu akan menempatkan pusat kawalan di hadapan Klinik Kesihatan Lama Manir bagi memudahkan penduduk kawasan PKPD untuk mendapatkan kebenaran keluar atas sebab yang dibenarkan.

“Ini termasuk untuk mendapatkan bantuan hal-hal kecemasan semasa tempoh itu dilaksanakan.

“Pihak polis juga akan membuat rondaan dan pemantauan dari masa ke semasa bagi mengenal pasti lorong-lorong yang masih digunakan orang ramai bagi tujuan keluar dan masuk kawasan.

“Penduduk di sini juga dinasihatkan supaya mematuhi segala arahan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sebarang cubaan atau tindakan untuk mengalih / mengubah / melanggar atau merosakkan penghadang jalan (barricade) boleh didakwa mengikut peruntukan undang-undang,” tegasnya.

Abdul Rahim turut menyarankan penduduk di kawasan Kampung Kubang Jambu, Manir agar menggunakan jalan alternatif lain iaitu Jalan Baloh dan Jalan Belakang Klinik Kesihatan Baru Manir.

“Sebarang pertanyaan atau aduan boleh berhubung dengan pusat kawalan COVID-19 Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala terengganu di talian 09-6322377," katanya.