• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

8 Lori Air Bergerak, 36 Tangki Statik Disediakan Di Kawasan Terjejas

KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Ekoran gangguan bekalan air yang menjejaskan 28,700 akaun pengguna, Syarikat Air Terengganu (SATU) telah menggerakkan lapan lori tangki air selain menempatkan 36 buah tangki statik di kawasan terlibat mulai malam ini.

SATU dalam satu kenyataan memaklumkan, usaha itu dilakukan bagi memastikan penduduk mendapat bekalan air sehingga proses pembaikian paip pam di dasar sungai yang pecah siap.

“Ia juga bagi menambahkan bilangan tangki sedia ada. 

“SATU juga sedang berusaha untuk menambah 10 buah lori tangki air lagi dengan memohon bantuan daripada operator-operator negeri lain melalui SPAN bagi melancarkan lagi proses agihan air melalui lori tangki.

“Pergerakan lori tangki dan kedudukan tangki statik boleh disemak melalui https://webapps.satuwater.com.my/tanker_tracker dan aplikasi MySatu,” jelas kenyataan itu.

Terdahulu, SATU berkata, kawasan yang terlibat di Kuala Nerus ialah Gong Badak, Bukit Jong, Maras, Perindustrian Gong Badak, Sg Ikan, Bukit Berangan, Alur Jambu, Gemuroh, Batu Rakit, Tok Jembal, Ladang Sentosa, Alor Damak, UNISZA, Bukit Sudu, Pagar Besi, UMT dan Padang Nenas.

“Turut terjejas, Mengabang Telipot, Tepoh, Lingai, Mengabang Telong, Padang Hangus, Bukit Wan, Wakaf Tengah dan Pagar Ubi,” ujar SATU.
 
Manakala bagi daerah Kuala Terengganukampung yang terlibat ialah Buluh Gading Masjid, Sebahagian Banggo Peradong, Buluh Gading Dewan, Manir, Banggol Tuan Muda, Tualang, Petai Bubus, Kebor Air, Paya Datu, Telok Menara dan Jeram.

Ujar kenyataan itu lagi, tempoh jangkaan pembaikian dan bekalan air untuk pulih dianggarkan mengambil masa selama empat hingga lima hari iaitu 7 hingga 8 Ogos, bergantung kepada tahap kerosakan paip dan keadaan sungai. 

“Kedudukan serta laluan paip 1200mm pada dasar sungai telah dikenalpasti melalui aktiviti selaman. Lokasi sebenar paip pecah juga telah diketahui dan proses pembaikian telah dimulakan.

“Pertambahan masa untuk pembaikian adalah disebabkan masalah yang timbul ini rumit dan memerlukan kontraktor yang berpengalaman dan pakar. Sekiranya ada lanjutan masa bagi tempoh pembaikian, makluman akan dibuat terlebih awal,” tambah SATU.


Tag: