• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

80 Anak Yatim, Asnaf Dan OKU Terima Sumbangan Aidilfitri

KUALA TERENGGANU, 4 Mei - Perasaan gembira dan teruja jelas terpancar pada wajah seramai 80 anak yatim,asnaf dan orang kurang upaya (OKU) dari  keluarga asnaf sekitar Ajil, Hulu Terengganu apabila diberi peluang menikmati juadah berbuka puasa dan menerima sumbangan Aidilfitri semalam.

Mereka yang berusia antara tujuh hingga 14 tahun teruja dan gembira diberikan peluang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri(DUN) Ajil untuk menikmati pelbagai jenis makanan dan menerima sumbangan itu di Terengganu Equestrian Resort (TER).

 ADUN  Ajil, Maliaman Kassim berkata, majlis berbuka itu adalah acara tahunan yang diadakan setiap kali Ramadan bagi meraikan mereka yang kurang bernasib baik walaupun pada tahun lepas ia tidak dapat diadakan ekoran daripada Covid-19 yang melanda seluruh dunia.

Katanya, majlis berkenaan adalah program khidmat masyarakat yang diadakan untuk mengeratkan hubungan di antara Jabatan Amal Malaysia (JAM) DUN Ajil sebuah agensi di bawah Dewan Pemuda PAS Malaysia dan masyarakat luar.

"Saya berbesar hati dapat berkongsi kegembiraan bersama anak-anak ini dan berharap majlis sebegini sedikit sebanyak dapat memberi senyuman kepada mereka di bulan mulia ini.

“Anak-anak ini akan dijadikan anak angkat kepada Dun Ajil,apa apa permasalahan JPKK jangan segan atau malu untuk berhubung dengan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Ajil.

“Saya amat teruja berpeluang menggembirakan mereka sambil menikmati hidangan dan menerima sumbangan Aidilfitri,” katanya ketika ditemui pada program itu.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Dewan Ulama Pas Terengganu, Ustaz Ismail Osman.


Bagi Muhammad Muith Multazam Mohd, 13, dari Kampung Jak, peluang menghadiri program itu bukan setakat menggembirakannya, malah berasa dikasihi oleh insan lain yang tiada pertalian persaudaraan dengannya.

“Arwah abah, meninggal dunia sejak saya berumur 4 tahun dan sejak itu, ibu,  yang membesarkan saya,” katanya.


Siti Nor Amri Sabri, 9, berkata dia hanya dapat menikmati kasih sayang ayah sementara sahaja kerana arwah bapanya meninggal dunia ketika dia berusia lapan tahun.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang sudi membawa saya dan anak yatim lain untuk berbuka puasa dan menerima sumbangan duit raya,” katanya.