• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

80 Anak Yatim Ceria Dirai Menjelang Lebaran


Oleh : Hailmey Mansor

KUALA NERUS, 26 Mei - Seramai 80 orang anak yatim ceria menjelang Aidilfitri apabila menerima sumbangan pakaian raya daripada Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir.

Pegawai Penyelaras DUN itu, Mohd  Fazil Wahab berkata, sumbangan pakaian raya berkenaan merupakan program tahunan yang melibatkan anak yatim di sekitar DUN berkenaan.

Katanya, sejumlah RM100 diperuntukkan kepada anak-anak ini untuk membeli pakaian raya dan keperluan lain untuk meraikan hari lebaran kurang dua minggu lagi.

"Kita anjurkan program ini setiap tahun walaupun kita bukan kerajaan sebelum ini.

"Kita amat mengambil berat hal-hal melibatkan kebajikan anak-anak ini kerana kita tahu mereka tidak mempunyai tempat bergantung harap,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena program 'Kasih Syawal' yang bertempat di Mydin Gong Badak, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Penolong Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN, Jamaliah Abdullah dan Pembantu Pegawai Hal Ehwal Masyarakat i-MiTS DUN, Badarul Ihshan Mohamad serta kakitangan Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Seberang Takir.

Fazil juga mengingatkan kepada semua lapisan masyarakat agar mengambil peduli kebajikan anak-anak yatim ini.

"Saya berharap agar masyarakat kita sentiasa bersikap ambil tahu berkenaan anak-anak yatim ini dan membantu meringankan beban dihadapi mereka terutama pada musim perayaan sebegini,"katanya lagi.



Tag: