• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

800 Sukarelawan Khidmat Malaysia Bantu Mangsa Banjir Di Pahang

KUALA TERENGGANU, 21 Disember - Sayap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) PAS, Khidmat Malaysia Terengganu bertindak proaktif menghantar 800 sukarelawan ke Kuantan dan Temerloh, Pahang bagi membantu mangsa banjir selaras dengan arahan yang dikeluarkan oleh Khidmat Malaysia Pusat.

Pengerusi Khidmat Malaysia Terengganu, Hanafiah Mat berkata, kumpulan sukarelawan tersebut menghulurkan bantuan kepada kepada mangsa banjir terlibat termasuk membersihkan rumah masing-masing yang dipenuhi lumpur tebal.

Katanya, ini termasuk sumbangan kewangan sebanyak RM50,000 kepada PAS Pahang bagi melancarkan proses bantuan kepada mangsa banjir.

“Hasil mesyuarat pagi tadi, kami telah tetapkan bahawa setiap kawasan akan menghantar seramai 100 orang sukarelawan dan mereka akan digerakkan bermula Khamis ini dan akan berkampung selama tiga hari di sana.

“Kita melihat bantuan tenaga kerja amat diperlukan untuk melakukan pembersihan pasca banjir di rumah-rumah mangsa yang terjejas di samping menghulurkan sumbangan keperluan asas seperti barangan makanan, keperluan asas dan dapur rakyat,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Pemantapan Wanita Siri 1 di Hotel Permai di sini hari ini.

Tambah Hanafiah lagi,  peserta misi bantuan itu turut diingatkan untuk mengutamakan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19.

Dalam perkembangan sama, Hanafiah yang juga Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata bermula Selasa hadapan hampir 1,000 sukarelawan daripada agensi-agensi kerajaan di Terengganu  akan diarahkan untuk memberikan sumbangan termasuk membersihkan rumah dan sebagainya yang perlu bagi meringankan mangsa banjir,

Terdahulu, Khidmat Masyarakat PAS Pusat telah mengeluarkan arahan kepada Terengganu dan Kelantan  untuk turun ke Pahang bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas teruk ekoran hujan lebat secara berterusan, pada Jumaat lepas.