• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

815 Mangsa Banjir Fasa Kelima Di Terengganu

KUALA TERENGGANU, 4 Januari - Seramai 815 mangsa banjir dari daerah Dungun dan Kemaman dipindahkan ke lapan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga jam 12 tengah hari ini.

Daripada jumlah itu, seramai 615 mangsa membabitkan 146 keluarga dipindahkan ke lima buah PPS di Kemaman iaitu di Dewan Orang Ramai Teladas, Surau Kampung Ban Ho, Sekolah Kebangsaan (SK) Lembah Jabor, Dewan Sivik Air Putih dan SK Teluk Kalong.

Sementara itu, di daerah Dungun pula seramai 200 mangsa daripada 61 keluarga berpindah ke tiga buah PPS di Dewan Orang Ramai Kampung Pasir Raja, Dewan Serbaguna Kampung Shukor dan Dewan Orang Ramai Kampung Minda.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Che Adam A Rahman berkata, berlaku pertambahan bilangan mangsa banjir yang dipindahkan awal pagi tadi.

"Sementara sebuah PPS ditutup iaitu SK Kemasik di Kemaman.

Berdasarkan keadaan cuaca semasa, berlaku hujan renyai sesekali lebat serta angin kencang di bahagian pantai,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, paras tiga sungai utama iaitu Sungai Kampung Tebak, Sungai Kampung Baru Kemasik dan Sungai Kuala Jengai melebihi paras bahaya.

Terengganu dilanda banjir fasa kelima bermula semalam dengan daerah Kemaman antara yang diramalkan mengalami hujan sangat lebat susulan amaran cuaca bahaya dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia.