• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

860 Kurang Mampu Dan Anak Yatim Terima Sumbangan Ramadan

DUNGUN, 29 April - Seramai 860 orang yang terdiri daripada 560 orang fakir miskin dan 300 anak yatim telah menerima Sumbangan Ramadan Dewan Undangan Negeri(DUN) Rantau Abang 2021.

ADUN Rantau Abang, Alias Harun berkata, sumbangan tahunan yang telah diadakan sekian lama itu terpaksa diadakan di beberapa tempat berasingan mengikut Unit Daerah Mengundi (UDM) untuk mengelakkan perhimpunan yang ramai sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard(SOP).

"Bagi UDM Pulau Serai yang terdiri daripada cawangan Batu Tiong, Batu Putih, Pelandang, Bemban dan Pulau Serai diadakan setempat dengan UDM Tok Kah yang  hanya mengandungi Cawangan Tok Kah," katanya.

Alias berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sumbangan Ramadan 2021 di Dewan Al-Husna, Markaz Tarbiyah Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah di sini baru-baru ini. 

Di majlis yang turut dihadiri Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli itu setiap penerima yang kurang berkemampuan menerima barangan dapur serta wang ringgit manakala anak yatim mendapat duit raya.

Katanya, sumbangan itu merupakan acara saban tahun untuk menceriakan mereka yang kurang berkemampuan dan anak yatim dalam membuat persiapan menyambut hari raya. 

Dalam pada itu, Alias turut mengingatkan agar ibu bapa memastikan anak-anak mereka yang cukup 21 tahun mendaftar sebagai pemilih. 

"Kalau ibu bapa sendiri belum lagi mendaftar, segeralah berbuat demikian, rugi kalau tidak mendaftar kerana akan menafikan hak untuk kita mengundi memilih wakil kita di Dewan Undangan Negeri dan di Parlimen," katanya lagi. 

 


Tag: