• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

89 Projek Mesra Rakyat Bangunkan Parlimen Setiu

SETIU, 9 Oktober - Kira-kira 67,300 rakyat Setiu akan menikmati kehidupan yang lebih selesa apabila 89 Projek Mesra Rakyat (PMR) sedang dan akan dijalankan di seluruh Parlimen terbabit.

Ahli Parlimennya, Shaharizukirnain Abdul Kadir, berkata sebanyak RM1.6 juta diperuntukan bagi membangunkan Parlimen Setiu dengan projek-projek seperti menaiktaraf jalan raya, membina dan membaik pulih tempat letak kereta, surau-surau serta gelanggang-gelanggang sukan.

"Projek-projek ini dijalankan setelah saya mendapat maklum balas, mendengar luahan rakyat Setiu dan berbincang sendiri dengan setiap pengerusi-pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dari seluruh Mukim.

"Setiap projek yang dilaksanakan tidak lain tidak bukan hanyalah semata-mata untuk melihat keselesaan rakyat Setiu itu sendiri," ujar beliau semasa melakukan lawatan ke beberapa tapak projek tersebut.

Menurut Shaharizukirnain, pihaknya telah mengadakan pelbagai ikhtiar yang dilihat menguntungkan seluruh rakyat sejak memegang tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Setiu.

"Saya akan sedaya upaya terus memberikan tumpuan untuk membawa kemajuan dalam Parlimen Setiu terutamanya di kawasan pedalaman seperti Mukim Hulu Nerus, Hulu Setiu dan Guntong agar mereka dapat menikmati kemudahan sama seperti mukim-mukim yang lain," katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri dan pusat atas respon yang positif, drastik dan cemerlang terhadap setiap isu-isu yang diajukan beliau selama ini.


Tag: