• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

90 Peratus Nama Calon BN Sudah Muktamad

pengerusi BN Negeri ketika sidang media sejurus merasmikan majlis penutup Konvensyen BN  petang ini.Foto oleh Hasmizi Hamid

Lebih 90 peratus calon telah dimuktamadkan oleh Barisan Nasional (BN) Negeri Terengganu bagi menghadapi Pilihanraya Umum Ke14 (PRU14) nanti.

Pengerusinya, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata senarai calon bagi negeri Terengganu telahpun dihantar dan berada dalam proses akhir.

"Sebahagiannya saya difahamkan dah siap...termasuklah tapisan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), cuma ada satu dua lagi yang mungkin saat akhir ada perubahan lagi.

"Mungkin ada beberapa tempat sahaja yang masih lagi belum dimuktamadkan jadi apa-apa perbincangan yang berterusan akan dilakukan antara saya dengan  Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen BN Terengganu di Hotel Primula, Kuala Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Dato' Seri Jailani Johari; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dato' Seri Ahmad Shabery Cheek; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail; Pengerusi jawatankuasa konvensyen, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar dan barisan kepimpinan UMNO negeri bersama parti komponen lain.

Ahmad Razif berkata, beliau berpuas hati dengan kejayaan Konvensyen BN bersandarkan kepada semangat solidariti dan kemuafakatan yang lahir amat tinggi dan berkobar-kobar.

"Saya yakin dan percaya pada PRU14 ini,  kita dapat mengulangi kejayaan PRU yang lalu kerana saya nampak gelombang biru telah subur di kalangan mereka apabila dibangkitkan nostalgia dan sejarah...mereka bersemangat kembali.

"Saya berharap dengan momentom yang ada... kita kekalkan dan tingkatkan lagi dan kejayaan akan jadi milik kita (BN) dalam PRU14, "katanya.


Tag: