• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

90 Petani, Nelayan Positif COVID-19 Terima Bantuan RM45,000

MARANG, 29 Ogos - Terengganu menyalurkan RM45,000 kepada 90 warga tani dalam pelbagai sektor termasuk peladangan, penternakan dan perikanan yang disahkan positif COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata bantuan tersebut disalurkan melalui Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Katanya, setakat hari ini seramai 80 orang di Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Marang telah menerima bantuan tersebut.

"Mereka yang disahkan positif wabak ini mendapat RM500 seorang secara berperingkat.

"Sehingga hari ini, kita dah bagi di Besut, Setiu, Marang dan baki akan menyusul dalam program melabuh unjam," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sampan Nelayan, Bantuan Touch Point(Peralatan Menangkap Ikan), Kerja-Kerja Melabuh Unjam, Bantuan One Off COVID-19  Sektor Pertanian dan Bakul Makanan MAFI di Pengkalan Merchang, di sini hari ini.

Dalam program secara pandu lalu itu, seramai 42 nelayan termasuk wakil di daerah Marang menerima bantuan mengikut kategori masing-masing.

Sementara itu, mengulas tentang masalah kekurangan stok isi ikan yang berlaku ketika ini, beliau berkata pihaknya akan melihat punca berlaku masalah tersebut.

"Kita akan tengok beberapa sumber sebab biasanya isi ikan ini dibawa dari negeri lain dan bukan di Terengganu.

"Untuk isi ikan,  kita akan tengok isu ini secara menyeluruh bersama Jabatan Perikanan di mana punca dan masalah kenapa bekalan tidak sampai sehingga menimbulkan kesukaran kepada pengusaha keropok," jelasnya.