90 Rumah Di Batu Buruk Rosak Dipikul RIbut

KUALA TERENGGANU, 27 Februari - Kira-kira 90 buah rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk telah terjejas akibat bencana ribut yang melanda kawasan terbabit semalam. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerja-kerja membaik pulih rumah terjejas telah mendapat perhatian pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) hari ini.

ADUN Batu Buruk membantu kerja-kerja membaik pulih rumah

“Kami telah berhubung dengan pihak JPKK dalam DUN Batu Buruk untuk membaik pulih rumah-rumah yang terjejas dengan kadar yang segera.

“Alhamdulillah, cuaca pada hari ini lebih baik berbanding semalam. Namun, kami sentiasa berwaspada dan bersedia untuk sebarang kemungkinan,” kata Ustaz Muhammad Khalil kepada pemberita ketika meninjau dan membantu kerja membaik pulih rumah-rumah tersebut. 

Sementara itu, DUN Batu Buruk telah mencatatkan satu perpindahan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering, semalam. 

Namun begitu, mangsa telah dibenarkan untuk pulang pada hari ini ekoran air kembali surut dan terkawal.

Ustaz Muhammad Khalil menyantuni mangsa yang berpindah ke PPS SK Chendering