• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

91 Ribu Kotak Air Mineral Telah Diagihkan

KUALA NERUS, 4 September – Sehingga semalam, sejumlah 91,000 kotak air mineral menggunakan 65 treler telah selesai dihantar kepada masyarakat yang terjejas di enam Dewan Undangan Negeri (DUN) melibatkan daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.

Pengarah Operasi Khidmat Malaysia Negeri Terengganu, Mohd Riduan Abu Bakar melaporkan, pihaknya telah mencapai kemajuan 60 peratus dalam misi pembahagian bekalan tersebut yang juga sebahagian daripada inisiatif bernilai RM1.25 juta oleh kerajaan negeri.

“Insya-Allah, jika pergerakan logisitik berjalan lancar, kerja penghantaran lima karton air di setiap rumah terjejas akan selesai pada Selasa hadapan.

“Seramai 800 tenaga bantu daripada luar kawasan terjejas telah hadir bagi membantu menyalurkan bantuan secara berperingkat dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN, Penyelaras dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

“Usaha pengagihan dijalankan bermula fasa pertama (dua kotak) kemudian fasa kedua (tiga kotak),” katanya ketika ditemubual pemberita selepas kerja pengagihan di di Dewan Serbaguna Tepoh, semalam.

Tambahnya, 800 sukarelawan dalam kalangan Jabatan Amal dan Pemuda PAS telah berperanan dalam menjadi sokongan kepada usaha pengisian semula tangki statik dan bekalan rumah ke rumah melalui mobilisasi pasukan jentera kenderaan.

“Kita telah susun tenaga secara strategik mengikut kawasan, kemudian mereka akan datang dari seluruh kawasan dalam Terengganu menggunakan kenderaan seperti lori dan pacuan empat roda bagi memastikan rantaian agihan berjalan lancar.

“Hasil tinjauan kami merasai rintihan dan nadi penduduk sekitar, mereka terharu akan sumbangan pelbagai pihak terutamanya daripada kerajaan negeri, sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan bebanan akibat krisis ini,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri memperuntukkan RM2.5 juta bagi membaik pulih paip dasar sungai Tangki Berangan yang pecah dan patah dalam dua kejadian berasingan dan dijangka tamat pada 12 September depan.