• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

92 Peserta RTB Kampung Mak Chili Terima Geran

KEMAMAN, 23 Disember -Seramai 92 orang peserta rancangan tanah kediaman berkelompok (RTB) terkilan dari Kampung Mak Chili, Kemaman kini mampu mengukir senyuman manis apabila menerima geran hak milik tanah masing-masing baru-baru ini.

 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim, berkata kejayaan yang dikecapi  merupakan hasil usahasama daripada pelbagai pihak dalam memastikan RTB terkilan ini dapat dikembalikan kepada para pemilik asal khususnya kepada penduduk Kampung Mak Chili.

“Hari ini kita berjaya menyerahkan geran hak milik tanah kepada 92 penerima dan yang selebihnya masih menanti proses kelulusan peserta ganti nama dan borang G memandangkan jumlah asal peserta RTB terkilan ini adalah seramai 117 orang," katanya kepada pemberita.

Dalam program yang sama, majlis undi lot tapak bangunan kediaman bagi RTB Kampung Mak Chili yang melibatkan seramai 79 pemohon baru turut diadakan.

Tidak ketinggalan, penyerahan borang Jadual 5A kepada 29 orang peserta tanah pertanian Kampung Mak Chili bagi Fasa 1 turut berlangsung.

Justeru itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat khususnya Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu, Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Mak Chili dan Pusat Khidmat Masyarakat Dun Air Putih yang telah bertungkus-lumus membantu menyelesaikan permasalahan ini.

Sementara itu, rata-rata para peserta yang hadir di majlis tersebut melahirkan rasa kesyukuran atas penyerahan semula tanah terkilan tersebut setelah hampir 20 tahun menanti. 

Mereka juga sewajarnya diberi pujian kerana telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses mendapatkan semula tanah terkilan ini dijalankan.