• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

9,510 Pelajar UniSZA Masuk Ke Kampus Bermula 9 Mac

KUALA NERUS, 16 Februari – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bersedia menerima kemasukan seramai 9,510 pelajar ke kampus bermula 9 Mac ini secara berperingkat mengikut kategori yang ditetapkan.

Naib Canselor (Menjalankan Fungsi), Prof Dr. Fadzli Adam berkata, kemasukan secara berfasa , semua semua pelajar dibenarkan memasuki kampus namun keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan daripada lima kategori yang telah ditetapkan

“Keutamaan akan diberi kepada kategori satu iaitu pelajar daripada program pengajian peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda dan pascasiswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel, peralatan khas dan pelajar badan beruniform yang perlu melengkapkan silibus mereka.

“Manakala kategori dua adalah pelajar Berkeperluan Khas (OKU) dan kategori tiga adalah pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan pembelajaran dalam talian turut dibenarkan ke kampus.

“Bagi kategori empat adalah semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu dan untuk kategori lima iaitu pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysia University English Test (MUET), antarabangsa dan badan profesional juga diberi keutamaan kembali ke kampus," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu katanya, bagi pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu, hanya yang lengkap vaksinasi sahaja dibenarkan masuk ke Malaysia dan wajib menjalani tempoh kuarantin selama 7 hari atau sekiranya telah mendapat dos penggalak, tempoh kuarantin ialah selama 5 hari.

Tambahnya lagi, pelajar yang lengkap vaksinasi dan tidak lengkap vaksinasi dibenarkan masuk ke kampus. Pelajar yang telah lengkap vaksinasi perlu menjalani ujian saliva RTK COVID-19 manakala pelajar yang tidak lengkap vaksinasi perlu membuat ujian RT-PCR dalam tempoh tiga (3) hari sebelum masuk ke kampus dengan tanggungan sendiri.

Dalam masa yang sama, pelajar perlu mendapatkan surat kebenaran kembali ke kampus daripada Portal Pelajar dan bagi pelajar yang ingin tinggal di kolej kediaman perlu membuat permohonan dan kelulusan tertakluk kepada kekosongan.

Prof Dr. Fadzli berkata, tarikh kemasukan pelajar adalah secara berfasa mengikut kategori dan pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran (PdP) akan dilaksanakan secara hibrid mengikut SOP yang telah ditetapkan.

“Bagi pelajar dari kategori satu iaitu seramai 4,932 orang, mereka boleh kembali ke kampus bermula 9 hingga 12 Mac, manakala kategori 2,3,4 dan 5 iaitu 1,504 orang akan pulang pada 21 hingga 25 Mac.

“Bagi pelajar bukan dari kategori selain yang ditetapkan, mereka boleh kembali ke kampus pada 3 hingga 20 April dengan melibatkan seramai 3,074 orang”, katanya.