• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

96 Pelajar Terpilih Duta Kelestarian Alam Sekitar INSTEP

KUALA NERUS, 11 September – Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) telah melantik 96 pelajar dari lapan buah sekolah rendah sekitar Mukim Batu Rakit sebagai  di bawah program Menyemai Masa Hadapan: Edu-Lestari 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Idris Ibrahim berkata, setiap peserta terpilih akan dibekalkan dengan ilmu asas pendidikan alam sekitar bagi meneruskan usaha menyemai kesedaran melestarikan alam sekitar di kalangan generasi muda. 

Katanya, program pendidikan alam sekitar tersebut merupakan kesinambungan daripada program sama yang dilaksanakan pada tahun lalu.  

“Sebagai duta, pelajar terbabit diharapkan mampu membuat perubahan peningkatan kesedaran alam sekitar disekeliling mereka melalui pelaksanaan amalan memulihara alam sekitar di dalam diri di samping berkongsi amalan tersebut kepada rakan sebaya dan masyarakat setempat. 

“Setiap peserta didedahkan dengan pembelajaran berterusan di dalam aspek kitar semula dan kelestarian ekosistem. 

“Selain daripada perkongsian berkenaan pengelasan sisa buangan, mereka juga turut mengikuti aktiviti pembelajaran interaktif mengenai kepentingan menghijaukan bumi.  

 “Menyemai Masa Hadapan: Edu-Lestari 2023 adalah salah satu daripada komitmen berterusan INSTEP ke arah masa hadapan yang lebih lestari melalui perubahan minda hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Idris, INSTEP sebagai organisasi yang mementingkan kelestarian alam sekitar, sentiasa komited di dalam misinya ke arah pencapaian taraf Kampus Hijau. 

“Di samping pemasangan bumbung solar di dalam kampus, INSTEP juga giat menjalankan aktiviti penanaman pokok di sekitar kampus. 

“Penjagaan pokok tersebut dilaksanakan secara semula jadi melalui kaedah siraman air hujan yang dikumpul melalui sistem penuaian air hujan dan juga menggunakan baja kompos yang dihasilkan oleh mesin pengompos makanan INSTEP,” ujarnya.