• 28 Okt 2020 | 11 Rabiul Awal 1442

Penutupan Sebuah Masjid Di Kuala Nerus Bukan Sebab Saya - Khairuddin

 

KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - 
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ,  Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menafikan penutupan sebuah masjid di Kuala Nerus berkuatkuasa semalam berpunca daripadanya.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus didakwa melanggar SOP Covid-19 apabila tidak melakukan kuarantin wajib selepas pulang dari luar negara awal bulan ini.

Beliau yang terpalit dakwaan tidak menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuat kenyataan lanjut berhubung perkara tersebut.

"Penutupan Masjid Seberang Bukit Tumbuh tiada kaitan dengan saya.

"Tunggu kenyataan daripada Kementerian Kesihatan, kita tidak mahu menimbulkan panik kepada rakyat dan InsyaAllah pihak kementerian akan buat yang terbaik,” katanya.

Beliau berkata demikian di sidang media di Majlis perjumpaan Yang Berhormat Menteri Tugas-Tugas Khas bersama YAS Datuk Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Warga APM Terengganu di Camellia Grand Ball Room, Tingkat 7, Hotel Paya Bunga, di sini, semalam.

Dalam majlis yang sama, Khairuddin turut menerima watikah pelantikan sebagai Pesuruhjaya Kehormat (PA) daripada Mohd. Redzuan. 

Ketika diminta mengulas tentang isu ingkar kuarantin yang semakin panas, beliau menyerahkan kepada KKM untuk membuat kenyataan terperinci.

“Pertama, sebagai menteri saya perlu akur kepada peraturan dan menyerahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk membuat kenyataan,” katanya.

Sumber terdekat pemimpin PAS itu seperti dilapor media berkata Khairuddin menjalani pemeriksaan dan ujian khas Covid-19 sebaik tiba di tanah air dari luar negara pada 7 Julai lalu dan disahkan negatif wabak itu.  

Untuk rekod, Masjid Seberang Bukit Tumbuh ditutup selama empat hari bermula petang semalam bagi aktiviti pembersihan dan nyahkuman.

 


Tag: