• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

4,000 Penduduk DUN Tepoh Terima Bantuan BERKAT 3.0

KUALA NERUS,16 Jun - Lebih 4,000 penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh yang terkesan dengan pelaksanaan 'total lockdown' menerima Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) 3.0 yang telah disalurkan oleh pihak kerajaan negeri baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya berterima kasih di atas keprihatinan kerajaan negeri.

"Alhamdulillah atas penyaluran bantuan BERKAT 3.0 oleh pihak Kerajaan Negeri Terengganu buat seluruh masyarakat yang terkesan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini. Bantuan ini amat perlu bagi meringankan beban sebahagian besar rakyat yang terputus pendapatan dan juga golongan yang susah," katanya.

Bermula Jumaat yang lalu, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Tepoh telah menyantuni sebahagian lapisan masyarakat yang terkesan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kawalan Kampung (JPKK) setempat bagi memantau penyampaian bantuan BERKAT 3.0 ke rumah sasaran dan turut sama menyantuni sebahagian penduduk yang susah dan sakit.

Program dimulakan di Kampung Gong Datuk dan disusuli dengan kampung-kampung yang lain.

Mereka yang terlibat merupakan penerima awal bantuan BERKAT 3.0 yang telah pun disampaikan oleh pihak JPKK.

Hishamuddin juga berharap orang ramai dan jiran tetangga dapat menyalurkan maklumat rakyat yang benar-benar berkesempitan kepada pihak PKM DUN Tepoh dan juga pihak JPKK setempat agar tindakan sewajarnya dapat diambil secara segera.

BERKAT 3.0 merupakan inisiatif bantuan berikutan PKP yang dikuatkuasakan pada 1 Jun hingga 14 Jun dengan peruntukan yang diberikan sebanyak RM200,000 untuk semua kawasan DUN dalam negeri Terengganu. Tanggungjawab agihan itu diuruskan sepenuhnya oleh pihak JPKK bagi setiap kampung. 

PKM DUN Tepoh turut membantu meringankan beban penduduk yang memerlukan susu bayi, susu pesakit, lampin pakai buang kanak-kanak dan lampin pakai buang dewasa atau pesakit.


Tag: