• 20 Mei 2024 | 12 Zulkaedah 1445

AADK Anjur Gotong Royong Bersama Penduduk



Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK ), Cawangan Dungun menganjurkan program gotong royong bersama kepimpinan masyarakat Kampung Tanjung Pagar, Dungun, pagi semalam.

Program yang bermula pada jam 8 pagi dan berakhir  12 tengahari itu diadakan di Balai Raya Kampung Tanjung Pagar dan  turut disertai 10 bekas penagih yang sedang menjalani pemulihan dadah bersama penduduk kampung berkenaan.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sura, Wan Hapandi Wan Hassan dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Nibong, Ismail Awang.

Wan Hapandi yang turut sama bergotong royong bersama peserta program berkata, usaha yang dilakukan oleh pihak AADK amatlah dihargai dalam memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya penggunaan dadah dan memberi peluang kepada bekas penagih untuk memulakan kehidupan yang baru.

“Saya menyokong aktiviti seperti ini di samping dapat mengeratkan sillaturahim di antara masyarakat ianya juga adalah satu aktiviti senaman untuk kesihatan tubuh badan.

“Mereka (bekas penagih ) juga adalah manusia dan kita harus memberikan sokongan kepada mereka agar mereka tidak merasa terpinggir dan sekali gus tidak kembali kepada aktiviti lama mereka," katanya.

Menurut Wan Hapandi, masyarakat seharusnya menjadi medium kepada usaha yang dilakukan oleh pihak AADK dalam memberikan bantuan dan kesedaran kepada bekas penagih agar mereka merasakan masih ada pihak yang sudi menerima golongan tersebut dalam masyarakat.

Tambahnya, setiap manusia harus diberikan peluang kedua dan kesilapan kali pertama itu tidak bermakna masyarakat boleh menghukum mereka untuk selama - lamanya .

“Allah tidak akan mengubah nasib seseorang manusia itu  melainkan mereka berusaha untuk merubah diri mereka sendiri dan kita sebagai yang tinggal sebagai satu komunit harus memberikan sokongan moral kepada golongan ini ," katanya.

Beliau juga menyokong sepenuhnya sekiranya ada pihak lain yang ingin membantu golongan tersebut, malah kerajaan negeri juga tidak mempunyai masalah untuk membantu agar gejala negatif yang sedang melanda masyarakat itu dapat dihapuskan sepenuhnya.

"Kerajaan negeri akan sentiasa menyokong sebarang aktiviti yang dilakukan oleh semua pihak untuk membasmi aktiviti penagihan dadah di kalangan masyarakat pada masa kini dan diharapkan akan lebih ramai lagi pihak yang tampil untuk menyokong usaha tersebut," katanya.

Tag: