• 15 Apr 2021 | 3 Ramadhan 1442

Abang Mati Lemas Depan Mata Adik

KUALA NERUS, 27 Februari – Seorang adik tidak menyangka ajakan memukat ikan beberapa hari lepas menjadi petanda bahawa abangnya itu akan pergi buat selama-lamanya akibat lemas di Pantai Teluk Ketapang pagi tadi.

Harun Mahmud, 62, berkata, sudah beberapa hari arwah abangnya, Mohd Mahmud mengajak memukat ikan di pantai tetapi tidak dihiraukan kerana masalah mabuk laut.

“Akhirnya, saya menuruti juga ajakannya, tetapi saya biarkan dia memukat seorang diri sambil saya memancing bersama dua orang lagi adik saya di tepi pantai.

“Tiba-tiba saya melihat bot kecil yang abang saya naik tengelam dan melihat keadaan dia terkapai-kapai sambil memegang pendayung.

“Saya terus menggunakan bot yang ada berhampiran untuk pergi menyelamatkannya," ujarnya selepas kejadian lemas menimpa abangnya.

Katanya, sebaik sahaja dibawa ke darat, adiknya melakukan tekanan dada tetapi Mohd, 72, tidak memberi sebarang tindak balas.

Sementara itu, Pegawai Polis Balai Polis Gong Badak, Salleh Kabul berkata, pihaknya menerima laporan kejadian lemas itu pada 11 pagi.

"Mayat mangsa sudah dibawa ke hospital untuk siasatan dan sedang menunggu laporan daripada doktor," katanya.


Tag: