• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

'Abang Viva' Kini Di Hulu Terengganu

HULU TERENGGANU, 28 Februari - Sukarelawan yang terkenal dengan jolokan 'Abang Viva' Azwan Omar, yang selamat sampai dari Melaka jam 4.50 pagi kini bersiap sedia untuk membantu mangsa banjir di daerah ini.

‘Abang Viva‘, 30, berkata namun misi bantuan di Hulu Terengganu didapati berbeza dengan banjir di Shah Alam kerana pihaknya sukar untuk memasuki kawasan yang terjejas susulan arus yang terlalu deras.

"Ketika di Shah Alam, saya tidak masalah untuk masuki kawasan yang terjejas banjir namun suasana di sini berbeza yang mana berisiko untuk bot-bot masuk ke tempat-tempat yang terputus hubungan jalan darat.

"Pada peringkat awal, saya tiba di Pengkalan Ajal tapi air dah surut tetapi terdapat beberapa lokasi lain di daerah ini arus masih lagi deras dan merbahaya untuk bot masuk,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Belukar Bukit di sini hari ini.

Dia turut ditemani beberapa kenalannya menaiki kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Triton yang dihadiahkan usahawan kosmetik, bulan lalu. 

Menurut beliau, sebaik sahaja misi mereka selesai di daerah ini, pihaknya akan ke Kelantan pula tetapi ia bergantung kepada situasi banjir.